Agong perkenan lima akta diluluskan Parlimen – Timbalan Speaker

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan lima akta yang diluluskan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 yang lepas.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Alice Lau Kiong Yieng berkata ia membabitkan Akta Perbekalan 2023; Perbekalan Tambahan (2022) 2023; Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023; Akta Kanun Acara Jenayah (Pindaan) 2023 dan Akta Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023.

Beliau berkata demikian ketika memulakan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen ke-15, di sini hari ini.

Alice turut memaklumkan dewan mengenai perutusan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim yang menyatakan persetujuan Dewan Negara terhadap kesemua 13 rang udang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 yang lepas.

Sementara itu, beliau berkata Hari Terbuka Parlimen selama dua hari yang diadakan pada 6 dan 7 Mei lepas telah mendapat sambutan yang baik, justeru ia akan dijadikan acara tahunan Parlimen.

“Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Hari Terbuka Parlimen,” katanya.

Pada 6 Mei lepas, buat julung kali Parlimen Malaysia ‘membuka pintunya’ kepada orang ramai menerusi penganjuran Hari Terbuka Parlimen selama dua hari bagi memberi ruang mengenali lebih dekat peranan institusi itu sebagai badan perundangan tertinggi negara dan sejarahnya.

Alice juga meminta semua Ahli Parlimen untuk mematuhi waktu yang ditetapkan ketika waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dan Jawab Lisan bagi membolehkan soalan sehingga nombor 15 dapat dijawab setiap hari.

Beliau juga menasihati agar Ahli Dewan Rakyat agar memakai pelitup muka sepanjang persidangan sebagai langkah pencegahan COVID-19 serta mengambil langkah bersesuaian menjaga diri masing-masing, memandangkan cuaca kini agak panas.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

981
Kongsi :
Previous post Dasar baharu lonjak ekonomi, bantuan guaman antara tumpuan hari pertama Dewan Rakyat
Next post Percepatkan pembinaan SMK Duyong – Adun
Ubah saiz-+=