Agong lawat pusat vaksinasi klinik kesihatan Kuala Lumpur

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KUALA LUMPUR 16 Mac. – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melawat Pusat Vaksinasi Klinik Kesihatan Kuala Lumpur (KKKL), di sini.

Baginda meluangkan masa kira-kira sejam untuk meninjau aktiviti berkaitan dengan vaksinasi COVID-19 terutamanya di KKKL sebagai Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Keberangkatan baginda di KKKL disambut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Datuk Dr Param Jeeth Singh.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah berkenan melawat Pusat Vaksinasi Klinik Kesihatan Kuala Lumpur, hari ini. Foto- Facebook Istana Negara.

Sebaik tiba Al-Sultan Abdullah diberikan taklimat tentang operasi klinik kesihatan itu oleh Pakar Perunding Perubatan Keluarga merangkap Ketua Klinik KKKL Dr. Baizury Bashah.

Seri Paduka Baginda seterusnya meninjau bilik penyimpanan vaksin yang menempatkan peti sejuk suhu ‘ultra rendah’ (ULTF) sebelum melawat enam stesen berkaitan pemberian vaksin, bermula dengan stesen saringan gejala, kaunter pendaftaran, stesen kaunseling dan stesen persetujuan penerimaan vaksin.

Di stesen vaksinasi, Al-Sultan Abdullah berkenan memerhati petugas kesihatan memberi suntikan vaksin kepada dua petugas barisan hadapan iaitu Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Muhammad Asyaraf Zulkifli dan Mohd Hafiz Sayuti.

Sejak 25 Februari hingga hari ini, seramai 2,490 petugas barisan hadapan di KKKL diberi suntikan vaksin iaitu 99.7 peratus daripada sasaran yang dipertanggungjawabkan kepada pasukan klinik kesihatan itu, manakala baki enam lagi penerima, dijadualkan akan mendapatkan vaksin itu esok.

Untuk suntikan dos kedua vaksinasi pula dijadual akan bermula pada 18 Mac ini.

Sebelum berangkat untuk melawat Pusat Vaksinasi Kem Sungai Besi selepas itu, Al-Sultan Abdullah sempat meluangkan masa beramah mesra dengan orang ramai yang datang untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan itu.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1226
Kongsi :
Previous post Status tiga negeri PKPB tukar PKPP
Next post Tangguh penanaman pokok bakau di Pantai Cermin sehingga kajian selesai
Ubah saiz-+=