Agong jalani rawatan intervensi susulan di IJN
KUALA LUMPUR 23 Jan – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sedang menjalani pemeriksaan kesihatan dan dan rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) selama beberapa hari bermula kelmarin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata pemeriksaan dan rawatan itu berkaitan dengan rawatan intervensi pada sendi lutut dan buku lali yang dijalani baginda pada September dua tahun lalu.
Beliau memaklumkan, Al-Sultan Abdullah menjalani rawatan intervensi tersebut selepas Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) menunjukkan baginda mengalami kecederaan pada sendi lutut dan buku lali ketika bersukan.
“Rawatan susulan itu tertangguh dari tarikh tersebut ekoran pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di hospital awam termasuk IJN,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook Istana Negara hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadil berkata pada masa sama, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menjalani pemeriksaan respiratori di IJN.
“Kesihatan Al-Sultan Abdullah dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan. Baginda dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat selesai menjalani rawatan itu.
“Seluruh rakyat diseru bersama untuk mendoakan Al-Sultan Abdullah dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.