Agong dibenar keluar IJN hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah dibenarkan keluar dari Wad Diraja Institut Jantung Negara (IJN) di sini, hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin ketika dihubungi Bernama mengesahkan, Seri Paduka dibenarkan keluar dari IJN pada 11.30 pagi ini setelah selesai menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan sejak Sabtu lepas.

Pada Ahad, Ahmad Fadil menerusi satu kenyataan memaklumkan pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan itu adalah berkaitan rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali yang dijalani oleh Seri Paduka di IJN pada 24 Sept lepas.

Menurutnya intervensi itu dibuat setelah Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI)  menunjukkan kecederaan pada sendi-sendi lutut dan buku lali Al-Sultan Abdullah ketika bersukan.

Sementara itu, Istana Negara menerusi laman Facebook rasmi memaklumkan, keberangkatan pulang Al-Sultan Abdullah dari IJN ke Istana Negara diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Seri Paduka menzahirkan rasa terharu dengan keprihatinan rakyat terhadap keafiatan Baginda dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang telah mendoakan kesejahteraan Baginda,” menurut kenyataan itu.

Al-Sultan Abdullah juga berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Surau Utama Istana Negara, hari ini. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

590
Kongsi :
Previous post Tiada pertambahan pelajar positif varian Omicron
Next post Pelajar, pensyarah kolej komuniti hasilkan kerusi penyelamat pantai
Ubah saiz-+=