Sorting by

×

Agong dan Permaisuri tiba di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BANDARAYA MELAKA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat bagi memulakan lawatan dua hari ke Melaka.

Keberangkatan tiba baginda berdua di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) pada jam 11.25 pagi tadi disambut Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Asmah Abd Rahman.

Turut hadir menyambut ketibaan pasangan diraja itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan isteri, Datin Seri Utama Munira M Yusop.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; EXCO Kanan Pelaburan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Sejurus ketibaan pasangan diraja itu menggunakan pesawat khas, Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil memimpin bacaan doa.

Baginda berdua diiringi Tun Mohd Ali dan Toh Puan Asmah berangkat ke Hotel Doubletree di sini bagi menerima menghadap sembah barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Selat di sini kira-kira jam 1 tengah hari.

Pada sebelah petang, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijangka berangkat ke Bazar Ramadan Peringgit sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan menunaikan solat Maghrib di Masjid Al-Azim.

Yang di-Pertuan Agong dijangka berangkat menghadiri Majlis Menghadap Ahli-ahli Majlis Agama Islam (MAIM) di sini, esok.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual berangkat pulang ke ibu negara pada keesokan hari.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1348
Kongsi :
Previous post Hiasan 2,000 pelita di Parit Gantong jadi tumpuan ‘YouTuber’, ‘influencer’
Next post Agong dan Permaisuri terima menghadap barisan EXCO Melaka
Ubah saiz-+=