Agong berkenan masyhur Masjid Sultan Ibrahim

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

TANJUNG BIDARA 14 Jun – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli pada Majlis Pemasyhuran Masjid Sultan Ibrahim, Kampung Ayer Hitam Pantai, di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di masjid berkenaan pada jam 1.03 tengah hari disambut Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Turut bersama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Pada majlis itu, Sultan Ibrahim yang memakai sepersalinan baju melayu Johor berwarna kuning lembut diiringi kenamaan lain ke pintu masuk utama masjid berkenaan.

Alunan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW mengiringi majlis itu sebelum Seri Paduka Baginda mencemar duli menandatangani plak sebagai simbolik pemasyhuran masjid tersebut.

Photo1718342218
YANG di-Pertuan Agong bersama kenamaan mengaminkan bacaan doa pada Majlis Pemasyhuran Masjid Sultan Ibrahim di Kampung Ayer Hitam Pantai, Tanjung Bidara. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pada majlis pemasyhuran itu juga, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan bakul makanan sumbangan Yayasan Sultan Ibrahim Johor kepada Ab Rauf untuk disampaikan kepada asnaf di Negeri Melaka dan disusuli bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Seri Paduka Baginda kemudiannya berkenan menerima sembah menghadap maklum Ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Selepas itu, Yang di-Pertuan Agong diiringi kenamaan memasuki ke ruang solat utama bagi mendengar khutbah Jumaat bertajuk Berkorban Kerana Allah Taala dan disusuli solat Jumaat bersama kira-kira 1,000 jemaah yang diimamkan Abdul Halim dan bilal Muhammad Al Abror Mohamed Amir.

Masjid Sultan Ibrahim yang dahulunya dikenali sebagai Masjid Nur Jannatul Bahri, Kampung Ayer Hitam Pantai itu menempa sejarah sebagai masjid pertama dimasyhurkan dengan nama Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Masjid terletak di Tanjung Bidara yang juga antara lokasi pelancongan Negeri Melaka siap dibina pada tahun 2021 dan mampu memuatkan seramai 1,000 jemaah dalam satu-satu masa.

Ia dibina di atas tanah seluas 0.8 hektar yang diwakafkan oleh keluarga Allahyarham Bahri dengan kos pembinaan kira-kira RM4.5 juta.

Petang nanti, Seri Paduka Baginda turut berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat Melaka di Dataran Pengkalan Rama.

Pagi esok pula, Sultan Ibrahim dijadual hadir merasmikan Pameran Hang Tuah, Pameran Automotif Klasik Diraja Johor dan Malaysia Bike Week Melaka 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh serta diikuti Majlis Santapan Malam dan Persembahan Muzikal Gita Citra di Encore Impression City Melaka pada sebelah malam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

415
Kongsi :
Previous post Populariti Fan Bingbing, nilai tambah tarik pelancong China ke Malaysia – KM
Next post ‘Fan Bingbing akan berusaha bersungguh-sungguh promosi Melaka’
Ubah saiz-+=