Agihan korban perlu adil, elak fitnah – Mufti Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

TANJUNG BIDARA 7 Jun – Umat Islam di Negeri Melaka yang terbabit dalam korban berkelompok sempena Hari Raya Aidiladha dinasihatkan agar memastikan pengurusan ibadah itu dibuat sebaiknya.

Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, pengurusan daging korban dan pelaksanaan yang baik daripada pihak penganjur dapat mengelak daripada berlakunya fitnah.

Katanya, setiap kali tibanya Hari Raya Korban akan adanya pelaksanaan korban berkelompok yang dibuat oleh pihak tertentu antaranya persatuan, masjid dan kawasan perumahan.

“Perjalanan daging korban dan pengurusan korban saya harapkan masyarakat Islam di Melaka ini dapat diuruskan dengan sebaiknya.

“Kalau persendirian itu mungkin dilakukan di rumah sendiri tetapi di persatuan, masjid, taman dan kawasan perumahan ada yang dibuat secara berkelompok untuk itu elakkan fitnah dengan mengagihkan seadil-adilnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Cerapan Rasmi Hilal Zulhijjah 1445H yang turut dihadiri Timbalannya, Hazarudin Baharudin; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad dan Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Sr. Noor Helmy Noordin, di Kompleks Al-Khawarizmi, di sini, semalam.

Menurut Abdul Halim, mereka yang dilantik atau mengetuai pelaksanaan ibadah itu perlulah berkhidmat dengan penuh kejujuran supaya daging korban dapat diagihkan betul.

“Berkhidmatlah dengan penuh kejujuran dan kesukarelawanan dalam masyarakat kerana ada yang mengorbankan wang ringgit untuk membeli lembu atau binatang korban dan ada juga mengorbankan masa serta tenaga bagi memastikan pelaksanaan itu dapat berlangsung dengan sebaiknya,” katanya.

Sementara itu, bersempena bulan Zulhijjah juga Abdul Halim berkata, banyak amal ibadah yang dapat dilakukan oleh umat Islam pada bulan ini terutamanya pada 10 hari pertama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

201
Kongsi :
Previous post Mufti Melaka ketuai cerapan hilal Zulhijjah
Next post Terapi minda di Laman Tiga Budaya
Ubah saiz-+=