Agensi penguatkuasaan akan santuni masyarakat di sempadan bagi tangani masalah dadah

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

TUMPAT 14 Sept – Agensi penguatkuasaan di sempadan Malaysia-Thailand akan   menyantuni masyarakat yang tinggal di kawasan perbatasan sebagai salah satu usaha untuk menangani masalah penyalahgunaan dadah yang masih berleluasa di negara ini.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang adalah antara penyumbang terbesar masalah penyalahgunaan dadah negara.

“Hasil mesyuarat yang diadakan di Kota Bharu pada Julai lalu kita dapati tidak kurang 30 peratus masalah penyalahgunaan dadah di negara ini adalah dikesan dari Pantai Timur.

“Selain itu, tidak kurang 80 peratus daripada rampasan dadah di negara ini seperti ATS (amphetamine), syabu dan pil kuda adalah “berasal” dari negeri yang bersempadan. Jadi, dalam soal ini kita lihat ianya adalah disebabkan oleh kemasukan dadah dalam jumlah yang besar dari negara jiran dan puncanya adalah masalah di sempadan itu sendiri,” katanya kepada pemberita pada Program Ketua Pengarah AADK dan Agensi Penguatkuasaan Sempadan Bersama Komuniti Pengkalan Kubor di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Abdullah Mohammad Piah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Hamat.

Katanya, hasil kemasukan dadah dari negara jiran contohnya di Kelantan akan pula menyebabkan masalah penyalahgunaan dadah di negeri jiran seperti Terengganu dan Pahang seterusnya ke negeri selatan tanah air.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, mesyuarat yang diadakan juga telah memutuskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengetuai pasukan bersepadu dalam kalangan agensi bagi meningkatkan lagi usaha menyekat kemasukan dadah dari negara jiran.

Namun katanya, pada masa sama peranan komuniti adalah amat penting kerana usaha menangani masalah dadah sekarang ini bukan lagi terletak di bahu agensi penguatkuasaan sahaja.

“Sebelum ini program seumpama sudah berlangsung tetapi selepas ini kita merancang melakukannya dalam skala lebih besar dan melibatkan banyak agensi supaya impaknya lebih besar,” katanya.

Katanya, tanpa usaha sama daripada komuniti ianya adalah amat sukar menangani masalah dadah dan menjadi tanggungjawab besar bagi komuniti turut sama berganding bahu menyekat kemasukan dadah ke sini dan ke negeri lain.

“Kita yakin masyarakat tempatan tahu akan perkembangan di sempadan dan mereka perlu berikan maklumat. Kemasukan dadah sama dalam jumlah sedikit atau banyak, kesannya tetap ada.

Sekiranya mereka mempunyai maklumat, mereka tidak perlu takut menyalurkan maklumat kerana ianya akan dirahsiakan dan sudah ditegaskan oleh polis,” katanya.

— BERNAMA

Views:

555
Kongsi :
Previous post Maut terjatuh ke dalam kolam kumbahan
Next post PM lawat Melaka
Ubah saiz-+=