Agenda pembangunan belia diberi perhatian – Sulaiman
AYER KEROH 13 Dis. – Kerajaan Negeri Melaka terus mengiktiraf peranan pertubuhan belia terutamanya melibatkan pembangunan belia di pelbagai peringkat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, ia termasuk menyokong dan memperkukuhkan landasan pembangunan golongan belia di negeri ini.
“Dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2021 Negeri Melaka, kerajaan negeri komited memastikan agenda pembangunan belia terus diberi perhatian.
“Mengambil kira peranan dan tanggungjawab ini, saya menyalurkan dana untuk mendayaupayakan pentadbiran Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM).
“Selain pertubuhan-pertubuhan belia yang bergabung dengannya, manfaatkanlah peruntukan tersebut dengan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Ke-37 Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) di Seri Bendahara, malam tadi.
Jelasnya, beliau menghargai usaha dan komitmen MGBM bagi menjayakan mesyuarat agung itu dalam melaksana langkah proaktif memacu kedudukan para belia Negeri Melaka.
“Berdasarkan statistik tahun 2019, golongan belia mewakili 45.1 peratus iaitu 0.42 juta daripada jumlah keseluruhan 0.93 juta penduduk negeri ini.
“Hampir separuh penduduk di negeri ini merupakan golongan belia dan tentunya bilangan ini mempengaruhi setiap aspek perancangan pembangunan Negeri Melaka,” katanya.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohidden; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Noorman Ramlan; Ketua Pegawai Eksekutif MYDC Sdn. Bhd, Ramlan Meon.
Selain Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha dan Presiden MGBM, Mohd Ridhwan Mohd Ali.
Ends..