AGENDA KESIHATAN RAKYAT MENJADI KEUTAMAAN
SERI NEGERI 31 Disember – Pembentangan Bajet 2025 memberi berita gembira kepada sektor kesihatan apabila sejumlah RM3 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, peruntukan itu adalah
bagi memastikan rakyat sentiasa mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik.
“Pertama sekali terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana begitu prihatin dalam agenda kesihatan rakyat apabila memperuntukkan RM3 juta di bawah portfolio kesihatan.
“Peruntukan diterima ini membabitkan beberapa program kesihatan awam antaranya penambahan saringan kesihatan jantung menerusi Program MBIO Sihat, selain saringan dua kanser untuk lelaki dan wanita.
“Ia juga bagi meneruskan Program MESRA Ambulans untuk pesakit terlantar B40 bagi temu janji dan Program Peluang Kedua: Back To Community termasuk juga Program Jom Sihat,” katanya.
Hee Sem berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas Persidangan Ketiga (Bajet) pada Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya berkata, selain peruntukan berjumlah RM3 juta, Kerajaan Negeri juga bersetuju menyediakan peruntukan menerusi Tabung Bantuan Dialisis Negeri Melaka.
“Setelah memperhalusi keperluan menyantuni kesihatan golongan B40 Kerajaan Negeri bersetuju menyediakan peruntukan berjumlah RM100,000.
“Menerusi Tabung Bantuan Dialisis Negeri Melaka mereka yang layak iaitu golongan B40 dan tidak menerima sebarang bantuan dari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) atau PERKESO akan dibantu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.