Agenda 30 peratus calon wanita pada PAU 2021

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

GEORGE TOWN, 15 Mac – Agenda 30 peratus perwakilan wanita untuk menjadi calon pada pilihan raya akan datang bakal dibawa oleh Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang membuka tirainya esok.

Naib Ketuanya Datuk Norliza Abd Rahim berkata keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini menunjukkan bahawa wanita layak menjadi pemimpin dan perlu diberi kesaksamaan jantina.

“Pada PRN Johor baru-baru ini, kita dapat lihat sendiri bahawa kita menang hampir semua kerusi yang ditandingi Wanita UMNO.

“Ini agenda yang kita akan bawa dari semua negeri agar calon-calon wanita diberi keutamaan dan diletakkan di tempat-tempat yang boleh menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Back to School 2022 anjuran UDA Holdings Bhd di sini hari ini.

Norliza yang juga pengerusi UDA Holdings berkata keputusan PRN Johor perlu diambil kira dalam strategi parti untuk PRU akan datang kerana ia menunjukkan rakyat mengiktiraf kemampuan wanita untuk menjadi pemimpin.

“Sudah sampai masanya wanita-wanita yang mempunyai kelebihan diberi tempat dan saya rasa pucuk pimpinan sudah mula sedar bahawa peluang kemenangan itu cerah apabila meletakkan calon wanita untuk bertanding pada pilihan raya,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1184
Kongsi :
Previous post Pelantikan Pengarah MSN tidak boleh tangkap muat – Shanmugan
Next post Gempa bumi sederhana di Selatan Sumatera, Indonesia
Ubah saiz-+=