Advokasi keselamatan jalan raya berkesan kurangkan pengguna tiada lesen

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

MERLIMAU 30 November – Program advokasi keselamatan jalan raya yang disasarkan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan mampu mengurangkan jumlah pengguna jalan raya di seluruh negara yang tidak memiliki lesen.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Rospiagos Taha berkata, dalam kalangan 23,000 pengguna jalan raya di negara ini yang dikesan tidak memiliki lesen hasil pemeriksaan menerusi Op Patuh Bersepadu baru-baru ini terdiri daripada remaja berusia di bawah 16 tahun.

Katanya, pihaknya tidak akan melaksanakan tindakan drastik kepada pelajar yang memandu dan menunggang kenderaan ke sekolah tanpa lesen kerana memberikan ruang untuk melaksanakan program advokasi keselamatan jalan raya termasuk  memberi pendedahan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Kita lihat kepada keberkesanan advokasi dan saya percaya dengan program advokasi yang tersurun rapi, sistematik dan bersasar, jumlah itu akan menurun dan mereka sedar kesalahan serta peraturan yang patut dipatuhi.

“Kita sasarkan program advokasi dilaksanakan dalam tempoh enam bulan dahulu dan berdasarkan rekod terdahulu, ia memberi kesan positif terutama di peringkat sekolah.

“Walau bagaimanapun keberkesanan itu bergantung kepada kerjasama ibu bapa dan masyarakat termasuk PIBG,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Perkhemahan Kadet JPJ Peringkat Zon Selatan Tahun 2023 di Pusat Kokurikulum Negeri Melaka di sini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pengarah JPJ negeri, Mohd Firdaus Shariff.

Rospiagos berkata, dalam langkah jabatan itu memperluaskan aktiviti advokasi dan penguatkuasaan kempen keselamatan jalan raya, pasukan Kadet JPJ turut diberi pendedahan untuk menjadi duta keselamatan jalan raya di sekolah.

“Mereka bukan sahaja menjadi ejen kepada JPJ tetapi sebagai jurucakap dalam membentuk disiplin dalam kalangan pemandu terutama ibu bapa mereka, sekurang-kurangnya mereka dapat menyampaikan mesej kepada ibu bapa dan pemandu bas atau van sekolah tentang keselamatan jalan raya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1292
Kongsi :
Previous post Pantun KM tarik perhatian dewan
Next post Paip air baharu atasi masalah tekanan air rendah Sungai Rambai
Ubah saiz-+=