Sorting by

×

ADUN pembangkang Melaka terima insentif RM60,000

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 10 Dis. – Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan kerajaan Melaka yang berada di blok pembangkang mungkin boleh tersenyum apabila menerima insentif berjumlah RM60,000 untuk setahun secara ‘one-off’.

Pengumuman itu dibuat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali ketika membacakan ucapan penggulungan Belanjawan Melaka 2021, petang tadi.

Jelasnya, pemberian itu diharap dapat membantu ADUN bukan kerajaan menjalankan tugas dengan baik demi rakyat di kawasan masing-masing.

“Dulu kita diberi RM3,000 sebulan ketika jadi pembangkang. Kemudian bila saya ambil alih, saya tambahkan peruntukan lagi RM500 sebulan untuk wakil rakyat ini dan kini saya berasa ADUN-ADUN ini wajar ditambah lagi peruntukan dan sebab itulah saya memberikan peruntukan secara one-off RM60,000.

“Saya harap peruntukan yang diberikan ini janganlah dibandingkan dengan negeri-negeri lain. Melaka ini kecil sahaja. Negeri lain mungkin empat atau lima kali ganda lebih besar dan mempunyai kewangan yang lebih kukuh.

“Saya berharap melalui penambahan ini, ADUN-ADUN bukan kerajaan dapat membuat lebih banyak penambahan aktiviti-aktiviti untuk rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sesi sidang media selepas menggulungkan Belanjawan Melaka 2021, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sulaiman turut menzahirkan rasa syukur apabila belanjawan bertemakan ‘Melaka Rumahku: Merangka Ekonomi, Membahagiakan Rakyat, Menggamit Dunia’ yang dibentangkannya semalam mendapat kelulusan sebulat suara pada persidangan berkenaan.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua wakil rakyat yang bangkit memberikan hujah serta pandangan yang baik dalam membantu memacu kemajuan Negeri Melaka.

Views:

378
Kongsi :
Previous post Pelantikan Menteri Besar Perak bukti toleransi parti
Next post UNIMEL dalam proses penuhi kriteria
Ubah saiz-+=