ADUN Pantai Kundor hadir sidang dewan secara maya.
SERI NEGERI 21 Sept. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan mencipta sejarah tersendiri apabila menghadiri Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-14 secara maya hari ini.
Sekali gus beliau menjadi ADUN pertama di negara ini dibenar mengikuti sidang DUN secara hibrid berikutan sedang menjalani kuarantin selepas disahkan positif COVID-19.
Terdahulu usul supaya Nor Azman dibenarkan menghadiri persidangan itu secara dalam talian dikemukakan Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) dan disokong oleh Datuk Wira AR. Ismail Othman (BN-Kuala Linggi) serta Adly Zahari (PH-Bukit Katil).
“Saya minta YAB Speaker buat pertama kalinya kita boleh mengizinkan ADUN ini hadir secara maya, kita boleh mengizinkan dibaca bersama oleh yang berhormat bersama peraturan dewan.
“Kalau majoriti ahli dewan ini membenarkan pengangguhan peraturan buat sementara ini bagi membenarkan yang berhormat Pantai Kundor hadir secara maya,” katanya.
Jelas Idris beliau telahpun menyemak perkara itu dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan telah pun bersedia jika ia dilaksanakan.
“Saya dah semak dengan YAB SUK semua ready (sedia), jadi kita boleh runding kalau majoriti ahli dewan bersetuju untuk bersoladitiri dengan dengan kawan kita yang terpencil ini untuk hadir secara online,” katanya.
Ismail yang bangun menyokong usul itu berkata, persidangan itu sememangnya ditungu-tunggu oleh semua ADUN bagi mengangkat permasalahan rakyat di kawasan masing-masing.
Adly pula berkata beliau tiada masalah menyokong usul dari segi dasar namun berpendapat Nor Azman tidak boleh mengundi kerana ia membabitkan banyak perkara lain.
Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kemudian memberi peluang ADUN membuat undian terhadap usul itu yang kemudiannya diluluskan sebulat suara dengan Nor Azman hanya dibenarkan menghadiri persidangan secara maya dan dibenarkan mengundi.
Idris memohon pertimbangan Speaker dan semua ADUN memandangkan Nor Azman tidak dapat hadir persidangan selepas disahkan positif COVID-19 dan perlu menjalani kuarantin kendiri sehingga 26 September ini.
Sementara itu, Idris pada sidang media selepas itu berharap Jawatankuasa Perlembagaan Dewan bersidang untuk meminda peraturan-peraturan di dalam buku ‘point of order’ itu untuk disesuaikan dengan kehendak dan keperluan masa kini.
“Maknanya boleh hadir secara online jika ada sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Jadi, mungkin Melaka menjadi negeri di mana segalanya bermula. Alhamdulillah hari ini terbukti kita dah laksanakan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata keabsahan sidang dewan itu tidak boleh dipersoal kerana usul agar Nor Azman dibenarkan hadir secara atas talian mendapat sokongan 100 peratus ahli dewan.
“Dari segi keabsahan (sidang) dewan itu tidak boleh dipersoalkan kerana saya difahamkan tadi ketua menteri pun mengundi dan buat pertama kali usul saya tadi mendapat sokongan 100 peratus ahli dewan supaya kita bersoladiriti Datuk Azman akan menghadiri dewan ini secara atas talian.
“Tapi kita setuju tidak ada sebarang undian , jadi tidak ada pihak boleh mempersoalkan keabsahan sidang dewan kita kali ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.