Aduan saya untuk indahkan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

PAYA RUMPUT 15 April- “Semua maklumat (aduan) yang saya buat, semua bertujuan untuk mengindahkan Melaka dan tidak berniat buruk terhadap mana-mana pihak,” kata See Eng Chuan, 54, Penerima Anugerah Individu/ Komuniti Prihatin Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Dia yang juga merupakan penjawat awam memenangi anugerah tersebut selepas menyalurkan sebanyak 150 aduan dari 2018 sehingga Mac tahun ini.

Katanya, aduan dibuat banyak membabitkan peniaga yang tidak menjaga kebersihan seperti meninggalkan sampah berselerak di tapak perniagaan dan tidak mengikut garis panduan yang diberikan oleh MBMB.

“Saya faham kalau kerajaan negeri ada memberi kelonggaran Melaka Bebas Berniaga disebabkan pandemik COVID-19, tapi para peniaga juga perlu beri kerjasama dan jangan bersikap sambil lewa.

“Selain itu aduan-aduan saya yang lain kebanyakan melibatkan jalan berlubang, longkang tersumbat, sampah tidak diselenggara dan saya rasa sebagai pengguna itu tanggungjawab untuk memastikan pihak berkuasa mendapat maklumat,” katanya.

Eng Chuan yang tinggal di Taman Paya Emas berkata, aplikasi Respon Rakyat yang mesra pengguna memudahkan dia membuat aduan kepada pihak MBMB.

Jelasnya, ini kerana aplikasi tersebut akan memberitahu sama ada aduan yang dibuat pengguna telah diambil tindakan atau sebaliknya.

“Pada 2018, saya banyak memberi maklumat dengan menelefon MBMB, respon terhadap aduan juga agak lambat. Tapi selepas kewujudan aplikasi Respon Rakyat, tindak balas terhadap aduan meningkat lebih laju, cuma ada beberapa isu agak mengambil masa untuk diselesaikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

725
Kongsi :
Previous post Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam letupan paip gas dan kemalangan bas di Mesir
Next post HRD Corp bantu 200 asnaf dan anak yatim
Ubah saiz-+=