Adly Zahari: Saya bukan boneka DAP
BUKIT KATIL 26 Okt – “Saya bukan boneka DAP, berhentilah main isu perkauman,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari.
Kata-kata itu diucapkan Adly ketika menafikan beliau adalah boneka DAP sepanjang mengetuai pentadbiran kerajaan negeri selama 22 bulan sebelum tumbang pada Mac 2020.
Sebaliknya, beliau menegaskan DAP tidak pernah membantah kerajaan negeri melaksanakan pelbagai inisiatif ekonomi bagi membantu meningkatkan sosioekonomi Bumiputera.
“Ingin saya tegaskan sewaktu saya jadi Ketua Menteri, banyak inisiatif yang berjaya kita buat khusus untuk membantu Melayu dan Bumiputera.
“DAP tak bantah pun…saya ingin nasihat kepada pihak di sebelah sana supaya berhentilah main isu perkauman dan lebih baik kita cerita apa rancangan kita untuk membantu rakyat yang baru hendak bangkit selepas dua tahun terpaksa berkurung dalam rumah,” katanya dalam satu rakaman klip video di laman Facebooknya.
Klip video itu memaparkan Adly ketika berceramah politik mendakwa, ketika menerajui kepemimpinan negeri, PH menubuhkan Dana Harta Bumiputera dan berjaya mengumpul RM33 juta.
Katanya, dana itu disalurkan sebagai pinjaman mikro kepada usahawan Bumiputera dengan nilai pinjaman kurang RM100,000 melalui penyediaan kaedah pembayaran balik secara mudah.
Selain itu, dana berkenaan juga katanya, membantu membina Rumah Peduli Rakyat bernilai kurang RM100,000 khusus untuk golongan B40 yang benar-benar memerlukannya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.