Adik nafi cederakan abang guna pisau pemotong ayam
AYER KEROH 12 Mei – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan abang kandungnya menggunakan sebilah pisau pemotong ayam pada pagi 1 Syawal lalu.
Tertuduh, Nabil Sarip, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan, Nabil didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap abang kandungnya berusia 38 tahun dengan menggunakan sebilah pisau pemotong ayam.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Taman Tanjung Minyak, di sini, kira-kira jam 10 pagi, pada 2 Mei lalu.
Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Prosiding pendakwaan dikenalikan Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari memohon kepada mahkamah agar tidak membenarkan jaminan dengan mengambil kira faktor keselamatan mangsa yang tinggal di alamat sama.
Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu di sebuah pusat bowling itu diwakili peguam S S Amritpal Singh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah dibenarkan dengan alasan tertuduh perlu menanggung ibu bapa yang uzur.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dalam apa juga keadaan.
Mahkamah juga menetapkan 7 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.