Sorting by

×

‘Adik dah tak ada rumah..’

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

REMBIA 22 Julai – “Adik dah tak ada rumah, mainan adik semua habis terbakar..”

Demikian luahan hiba seorang kanak-kanak berusia 6 tahun yang luluh melihat rumah didiami keluarganya di Kampung Sungai Petai, di sini, hangus terbakar, lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, kesemua tujuh penghuni rumah itu bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri.

Menurut mangsa, Mohd Faizal Abu Hasan, 38, kebakaran itu berlaku begitu pantas dan tanpa disangka-sangka.

Katanya, ketika kejadian, dia bersama keluarga sedang menonton televisysen di ruang tamu tengah rumah sebelum terdengar bunyi seperti kayu terbakar.

“Saya terus melihat ke ruang hadapan dan dapati api sedang marak dan kami sekeluarga tergamam serta kaku.

“Ketika itulah kami terdengar jiran menjerit meminta kami keluar selamatkan diri dan saya dan anak-anak hanya berseluar tanpa sempat memakai baju lari dari rumah yang sedang dijilat api.

“Pada waktu itu, kami hanya sempat menyelamatkan dua buah kereta yang diparkir di hadapan rumah dan barang-barang lain tidak dapat diselamatkan,” katanya kepada pemberita.

Menurut Mohd Faizal, walaupun sedih dengan kejadian yang membuatkannya sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, namun dia bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku ke atas mereka.

“Ini merupakan rumah pusaka tinggalan mentua saya. Banyak barang-barang kenangan tidak dapat kami selamatkan. Menurut bomba yang selamat hanyalah tabung berisi duit syiling sahaja.

“Anggaran kerugian belum dapat dipastikan tetapi boleh dikatakan hampir semuanya tidak dapat diselamatkan,” katanya yang kini menumpang di rumah jiran terdekat.

Terdahulu, nasib menimpa keluarga itu turut mendapat perhatian Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah merangkap Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Fairul Nizam Roslan.

IMG-20230722-WA0011
RUMAH pusaka jenis separa kekal terbakar 90 peratus.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hanif Mustafa berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.13 petang sebelum menggerakkan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dan balai bantuan Cheng serta Tangga Batu ke lokasi.

Katanya, kebakaran itu menyebabkan rumah separa kekal bersaiz 70×40 kaki persegi itu terbakar 90 peratus.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 7.55 petang dan operasi tamat pada 10.34 malam.

Orang ramai yang ingin membantu Mohd Faizal boleh menyalurkan sumbangan menerusi nombor akaun Maybank miliknya di nombor 154101314778.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8201
Kongsi :
Previous post PRN: BN tanding 108 kerusi DUN di enam negeri
Next post Pencarian jaguh menembak tentera darat
Ubah saiz-+=