Adik beradik dicekup, tipu hampir RM3.3 juta

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

AYER KEROH 10 Mac – Kelicikan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam pelbagai kes penipuan dalam talian sehingga mengakibatkan kerugian hampir RM3.3 juta berakhir selepas dia dicekup ketika bercuti ke Melaka, awal bulan ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, suspek berusia 30-an itu ditahan bersama adik perempuannya di Ayer Keroh, pada 6 Mac lalu selepas diburu polis sejak enam tahun lalu.

Beliau berkata, suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan penipuan sejak 2005 dengan menggunakan beberapa modus operandi dan siasatan dilakukan mendapati mereka terbabit dengan 75 kegiatan penipuan di seluruh negara.

“Untuk Melaka kita menerima dua laporan polis daripada mangsa yang juga penjawat awam mengatakan membuat pembelian lampin pakai buang melalui akaun Facebook Izzy Elledee pada Mei 2016 sehingga mengakibatkan kerugian lebih RM838, 000.

“Suspek dikatakan pada awalnya ada membuat penghantaran dalam kuantiti yang sedikit sebelum memberi pelbagai alasan kepada mangsa yang bertindak sebagai pengedar sebelum mendiamkan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di Bukit Beruang, petang Jumaat.

KETUA Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali (kanan) bersama Timbalannya, Datuk Razali Abu Samah (kiri) mengadakan sidang akhbar berkaitan kes penipuan pembelian online dan kes Ah long di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang, Melaka. Foto: MR. Azli

Menurut beliau, suspek dipercayai bertindak berpindah di merata tempat seluruh negara bagi mengelak daripada ditahan polis.

“Daripada laporan diterima di Melaka, pasukan polis kemudian menubuhkan satu pasukan dan membuat risikan kira-kira dua bulan sebelum dapat menangkapnya awal bulan ini.

“Selain menawarkan pembelian lampin pakai buang, suspek juga menjalankan kegiatan penipuan urusan pembelian kereta, komputer riba, sewaan kereta, pakej pelancongan, jongkong emas serta set aksesori motosikal yang kesemuanya membabitkan kerugian RM3, 298, 135,” katanya.

Abdul Majid berkata, suspek lelaki yang juga dalang utama masih direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakalan adik perempuannya direman sehingga esok.

“Suspek wanita disyaki berperanan sebagai pemilik akaun dan siasatan menyeluruh terhadap suspek lelaki masih diteruskan bagi mengenalpasti pembabitannya dalam kes penipuan yang lain.

“Ketika tangkapan dibuat, polis turut merampas tiga buah telefon bimbit dan sekeping kad keahlian parti politik yang tertera nama suspek menggunakan gelaran Datuk dipercayai palsu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1336
Kongsi :
Previous post Ada rekahan tanah, 200 penduduk sekitar Taman Permai diarah kosongkan rumah
Next post Ada rekahan tanah, 200 penduduk sekitar Taman Permai diarah kosongkan rumah
Ubah saiz-+=