Adik Ainul Mardhiah dilaporkan tenat
MELAKA 1 Ogos – Adik Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang sebelum ini penghidap kanser mulut Germ Cell Tumor dilaporkan semakin merosot apabila kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU).
Berita itu dikongsikan ibunya, Nurul Erwani Zaidi dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Nurul Erwani, keadaan anak sulungnya itu dilaporkan semakin kritikal selepas doktor memaklumkan berlaku jangkitan kuman yang kini sudah merebak.
“Ainul berada di PICU sekarang. Doktor ICU beritahu keadaan Ainul kali ni agak kritikal dan tenat.
“Ainul mula dengan muntah muntah dan cirit-birit dalam masa sehari. Hari kedua mama (saya) tengok Ainul sudah tak bermaya sangat.
“Sebab nampak lain sangat keadaan Ainul kali ni. Terus bawa ke Emergency. Doktor buat prosedur dan beritahu rupanya Ainul dah terlalu tenat sebab infection dah ada dekat semua tempat,” tulisnya dalam satu hantaran di Instagram _nrlerwani.
Dalam hantaran sama, Nurul Erwani turut meminta orang ramai mendoakan agar Ainul Mardhiah kuat melawan penyakit itu dan kembali sihat seperti sedia kala.
“Satu badan penuh dengan wayar dah anak mama ni. Mama tak minta banyak, mohon doakan anak kesayangan mama, Ainul Mardhiah jadi lagi kuat untuk lawan penyakit ni,” luahnya.
Sebelum ini, berita mengenai Ainul Mardhiah yang menghidap ketumbuhan di mulut menjadi perhatian dan mendapat liputan meluas seluruh negara.
Dia bagaimanapun selamat menjalani pembedahan pada Jun 2019 di London, United Kingdom dengan tumor seberat 200 gram yang membesar di mulutnya berjaya dikeluarkan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.