![Whatsapp Image 2025 02 12 At 07.57.44](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-12-at-07.57.44.jpeg?v=1739354033)
ADA SAKSI LIHAT MANGSA BERTENGKAR DENGAN SUAMI SEBELUM KEMALANGAN
ALOR GAJAH 12 Februari – Suami kepada mangsa maut dalam kemalangan di jalan berhampiran Kolej Vokasional Datuk Sri Mat Zin, tengah malam tadi, telah dipanggil pihak polis untuk dirakam keterangan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, ia susulan maklumat awal diterima daripada saksi yang melihat pasangan berkenaan bertengkar sebelum berlaku kejar-mengejar hingga berlakunya kemalangan maut itu.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat, pertengkaran itu berlaku di luar dan pasangan itu menunggang motosikal berasingan.
“Saksi mendakwa mangsa dan suami bertengkar sebelum kejadian dan ketika dalam perjalanan pulang, suami mangsa dipercayai mengikut dari belakang.
“Ketika itu, mangsa didakwa memecut motosikal untuk lari dari suami dan terbabas di lokasi kemalangan dan disahkan meninggal dunia.
“Suami mangsa berusia 22 tahun yang bekerja sebagai penghantar barang kini sedang dirakam keterangan dan pihak polis masih lagi mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, susulan maklumat terbaharu itu, kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Suami mangsa mungkin akan direman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas melanggar tembok batu ketika melalui selekoh di jalan berhampiran Kolej Vokasional Datuk Sri Mat Zin kira-kira jam 12.50 tengah malam tadi.
Mangsa yang merupakan pekerja di sebuah kilang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan di kepala.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.