Ada bapa sara empat anak dengan pendapatan RM300 sebulan
AYER KEROH 21 April – Hilang pekerjaan akibat pandemik COVID-19 seorang lelaki dari Serkam Darat, kini membiayai belanja persekolahan empat anaknya dengan pendapatan bulanan dianggarkan cuma RM300 hasil bekerja sendiri.
Perkara itu dikongsi seorang guru yang ditemui ketika mengiringi anak muridnya yang terpilih menyertai program Amal Anak Yatim dan Asnaf anjuran OK Group, di sini, semalam.
Guru berkenaan yang enggan dikenali berkata, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Serkam Darat, Mohammad Ali Shafie Mohd Khari Azhar, 7, datang dari keluarga yang kurang berkemampuan.
Jelasnya Mohammad Ali antara 30 murid tahun satu hingga enam dari tiga sekolah rendah sekitar Serkam dan Umbai dekat Jasin, terpilih menyertai program itu.
“Pihak sekolah dapati murid ini tidak lengkap buku persekolahannya, lalu guru kelas menghubungi ibu murid tersebut dan susulan situ baharulah kami tahu tentang situasi kewangan keluarga itu.
“Sebelum pandemik, pendapatan keluarga murid ini boleh dikatakan baik namun setelah berlaku pandemik, bapanya kehilangan kerja dan terpaksa bekerja sendiri
“Mohammad Ali mempunyai dua kakak dan seorang adik yang masih bayi, tak dapat saya bayangkan bagaimana bapa mereka berjuang untuk mengadakan keperluan persekolahan anak-anak dengan pendapatan sebanyak itu,” katanya.
Pada program itu, murid diperuntukkan RM300 seorang dan mereka boleh memilih pakaian Hari Raya yang diperlukan selain diraikan pada majlis.
“Sudah tentu murid-murid ini gembira, terubat sedikit kesedihan di hati mereka kerana keluarga kurang bernasib baik dan tidak mampu menyediakan kelengkapan Hari Raya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.