Acara kebudayaan mampu rancak pelancongan Melaka-Pulau Pinang
GEORGETOWN 14 Jun – Penganjuran acara berunsurkan kebudayaan dilihat mampu merancakkan lagi aktiviti pelancongan membabitkan pelawat antara Melaka dan Pulau Pinang.
Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) Masrul Faizal Mohamad berkata, penganjuran acara seumpama itu akan memastikan wujud kesinambungan atau lawatan balas pelawat antara kedua-dua negeri.
“Acara dianjurkan hendaklah menarik pelawat dari Pulau Pinang untuk ke Melaka dan sebaliknya. Lebih bagus jika dapat dijadikan acara tahunan, sekaligus mewujudkan kesinambungan.
“Ciri budaya antara kedua-dua negeri ini yang ada banyak persamaan perlu kita manfaatkan, agar orang ramai boleh lihat keunikan Melaka dan Pulau Pinang,” kata kepada Melaka Hari Ini, di sini, hari ini.
Katanya, CMI akan bekerjasama dengan Melaka World Heritage dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri Melaka (UPEN), bagi menjayakan usaha itu.
“Selain itu kita juga boleh bekerjasama dengan kerajaan Pulau Pinang, contoh usaha pelancongan dilaksanakan di negeri berkenaan kita cuba laksanakan pula di Melaka,” katanya.
Terdahulu beliau bersama delegasi Melaka diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali melawat ke The Top @Komtar yang menawarkan pemandangan indah sekitar Georgetown dari bangunan setinggi 58 tingkat itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.