Abdul Rahman dilantik Panglima TLDM yang baharu
KUALA LUMPUR, 27 Jan – Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob dilantik sebagai Panglima TLDM ke-18 berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan Abdul Rahman disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang pada majlis serah terima tugas di Wisma Pertahanan di sini.
Abdul Rahman menggantikan Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany yang bersara wajib.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz dan barisan pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pelantikan Abdul Rahman sebagai Panglima Tentera Laut menjadikan beliau sebagai pegawai submariner pertama yang memegang tampuk pemerintahan TLDM.
Abdul Rahman yang dilahirkan di Johor Bahru, Johor pada 2 Dis 1964 telah menyertai TLDM pada 2 Julai 1982 serta ditauliahkan pada 13 Jun 1984.
Antara jawatan yang pernah disandang sepanjang perkhidmatan beliau ialah Komander Angkatan Kapal Selam TLDM, Timbalan Ketua Misi Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao Filipina, Panglima Wilayah Laut 2, Panglima Armada Timur dan Timbalan Panglima Tentera Laut pada 2019.
Kerjaya beliau sebagai seorang Submariner bermula pada 1993 apabila memperoleh lencana kepakaran kapal selam setelah menamatkan latihan kapal selam di HMAS Platypus, Australia.
Abdul Rahman seterusnya menjalani Latihan Pengenalan Kapal Selam di Sweden pada 1995 dan di Perancis pada 1999 serta berjaya menamatkan Kursus Asas Kapal Selam Kelas Agosta pada 2006 di Perancis.
Dalam bidang sukan, Abdul Rahman aktif dalam tenis dan golf serta pernah mewakili TLDM dalam Sukan Antara Perkhidmatan pada 2022 dengan pasukan tenis TLDM muncul juara pada kejohanan tersebut.
Sementara itu, TLDM dalam satu kenyataan hari ini merakamkan penghargaan kepada Mohd Reza sepanjang 42 tahun perkhidmatan beliau terutama ketika memegang jawatan Panglima TLDM sejak 30 Nov 2018.
“Beliau telah meneruskan usaha memodenkan armada TLDM walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran terutama ketika negara dilanda pandemik COVID-19 dan cekal mencari penyelesaian agar tahap kesiapsiagaan TLDM terus berada di tahap yang optimum,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, Markas TLDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Laksamana Madya Datuk Sabri Zali dilantik Timbalan Panglima TLDM yang baharu menggantikan Abdul Rahman dalam satu majlis serah terima tugas di KD Sri Gombak, Jalan Padang Tembak, di sini hari ini.
Majlis disaksikan Mohd Reza bersama Ahli Jawatankuasa Laksamana TLDM dan warga ‘navy people’ sekitar Lembah Klang.
“Sabri yang dilahirkan pada 4 Mac 1967 di Rawang, Selangor dan berkhidmat lebih 38 tahun sebelum ini memegang jawatan Panglima Armada Timur sejak 24 Dis 2020.
“Beliau memasuki TLDM sebagai Pegawai Kadet pada 15 Dis 1984 dan dipilih untuk menjalani kursus Midshipman Antarabangsa di Jerman Barat selama tiga tahun serta ditauliahkan pada 21 Dis 1987 setelah kembali dari Jerman,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, antara jawatan penting yang pernah disandang beliau adalah Pegawai Memerintah KD Jebat merangkap Pegawai Kanan Armada, Asisten Ketua Staf Sumber Manusia di Markas Tentera Laut, Komandan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera dan Panglima Wilayah Laut 2.
Dalam majlis sama sebelum itu, Mohd Reza menyempurnakan pemakaian pangkat Pegawai Kanan TLDM dan Pegawai Kehormat PSSTLDM (Pasukan Simpanan Sukarela TLDM).
“Panglima Armada Timur Laksamana Muda Datuk Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy dinaikkan pangkat ke Laksamana Madya manakala Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Laut Laksamana Pertama Baharudin Wan Md Nor dinaikkan ke pangkat Laksamana Muda.
“Leftenan Komander Norzamzam Minirin TLDM dinaikkan ke pangkat Komander TLDM dan Leftenan Mohd Noorfaridzuan Adnan TLDM dinaikkan ke pangkat Leftenan Komander TLDM. Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Sains Malaysia Prof Dr Azlinda Azman pula dianugerahkan pangkat Komander Kehormat PSSTLDM,” menurut kenyataan itu.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.