ABDUL KHALIL DILANTIK NAIB CANSELOR BAHARU UNIMEL
AYER KEROH 4 Januari – Prof Datuk Ts. Dr. DHc. Abdul Khalil Shawkataly dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Islam Melaka (UNIMEL) yang baharu berkuatkuasa 1 Januari lalu.
Menerusi kenyataan dikeluarkan UNIMEL, pelantikan Dr. DHc. Abdul Khalil adalah bagi menggantikan Prof Datuk Dr. Mohd Taib Dora yang memegang jawatan Naib Canselor sebelum ini.
“Sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam pentadbiran institusi pengajian tinggi (IPT) pelantikan Dr. DHc. Abdul Khalil mampu memperkukuhkan dan meningkatkan lagi tahap daya saing UNIMEL.
“Pelantikan ini juga selaras dengan hasrat UNIMEL untuk melahirkan generasi berilmu pengetahuan dan berkemahiran di peringkat tempatan serta antarabangsa.
“Pada kesempatan ini juga UNIMEL merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dr. Mohd Taib atas jasa bakti beliau sepanjang menerajui UNIMEL,” kata kenyataan itu.
Dr. DHc. Abdul Khalil adalah anak jati Negeri Melaka berkelulusan diploma dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Putra Malaysia (UPM), beliau kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran di University of Wales, United Kingdom.
Selain itu Dr. DHc. Abdul Khalil, berpengalaman luas dan pernah menyandang jawatan Pengarah Strategik Pembangunan Perniagaan, Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM).
Antara jawatan penting lain pernah disandang beliau ialah, Dekan Sekolah Teknologi Industri, USM, Fellow of Institute of Materials, Mineral and Mining (FIMMM, United Kingdom), Fellow of International Association of Advanced Materials (FIAAM, Sweden) dan Adjung Profesor di beberapa buah universiti tempatan serta luar negara.
Selain itu beliau juga adalah penyelidik yang disegani dalam bidang Material Science and Engineering.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.