Sorting by

×

ABC-19 penghubung komuniti cegah wabak COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 11 Mac. – Agen Basmi COVID-19 (ABC-19) akan mempergiatkan aktiviti pencegahan wabak itu dalam komuniti selain menjadi penghubung dengan pihak berkuasa di peringkat daerah.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, pendekatan mewujudkan ABC-19 bertujuan menyedarkan anggota masyarakat bahawa mereka adalah ‘barisan hadapan’ dan bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kesihatan anggota komuniti.

Katanya, melalui pendekatan itu pemimpin setempat dan anggota masyarakat akan turut serta dalam program pendidikan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) serta pematuhan pencegahan COVID-19.

“Di Melaka, melalui ABC-19 kita akan mengaktifkan entiti sedia ada sebagai penggerak aktiviti pencegahan COVID-19 di komuniti termasuk menghadkan dan merekod pergerakan keluar masuk pelawat dan penduduk dengan nasihat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita bergerak dalam satu pasukan yang bekerjasama memastikan aktiviti berkaitan ABC-19 ini…, kita akan pastikan mesej disampaikan diterima semua peringkat akar umbi.

“Kita akan berikan juga khidmat nasihat seperti peringatan dan teguran sebagai garis panduan kepada seluruh komuniti untuk memastikan bahawa kita dapat mengawal wabak pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa bersiaran secara langsung dalam Dialog 1.30 berkaitan Pemerkasaan Komuniti Dalam Memerangi Penularan Pandemik COVID-19 di Melaka FM, hari ini.

Katanya, pihaknya akan menyediakan laporan bagi setiap aktiviti di lapangan untuk disampaikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bagi tindakan selanjutnya.

“Kita perlu sediakan laporan bila turun padang, ini antara mekanisma dan langkah kita laksanakan bukan hanya dalam jangka masa pendek tetapi jangka masa panjang,” katanya.

ABC-19 adalah inisiatif terkini kerajaan dalam memastikan masyarakat di negara ini terhindar daripada jangkitan wabak itu.

Penubuhannya akan membabitkan tiga peringkat meliputi tujuh entiti komuniti antaranya Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam (APM); jawatankuasa dalam komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

388
Kongsi :
Previous post Simbah petrol, bakar rakan hidup-hidup
Next post Dua pelajar ‘carut guru’ mengaku salah
Ubah saiz-+=