Abang sedia berkorban besarkan adik-adik

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

TELOK MAS 7 Jun – “Tanggungjawab membesarkan adik-adik akan dipikul sepenuhnya kerana kini sayalah tempat mereka meletak harap,” itu kata Saeed Ezuddin, 22, anak sulung kepada pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU) yang maut dalam kemalangan di Jalan Serkam Pantai, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, ibu dan ayahnya Surayah Muhamat, 48, dan Ezuddin Mohammad, 50, maut selepas dirempuh Perodua Myvi yang dipercayai dipandu dibawah pengaruh alkohol.

Menurut anak sulung kepada enam beradik itu berkata, walaupun tanggungjawab itu agak sukar namun dia akan cuba sebaiknya dengan bantuan ahli keluarga yang lain.

Dia yang baru menamatkan pengajian di Politeknik Merlimau berkata, jika sebelum ini dirinya ada menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah namun impian itu terpaksa dilupakan demi masa depan adik-adik.

“Saya baru sahaja kerja dan selepas ini ia perlu dilihat semula bagi menguruskan keluarga demi adik-adik.

“Sebelum ini ada terfikir nak sambung belajar tetapi selepas kejadian ini hasrat itu perlu dilupakan kerana fokus utama kini adik-adik,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga itu di Tambak Bugis, hari ini.

Menurutnya, perhatian penuh perlu diberikan khusus untuk adik-adiknya yang masih kecil yang kini kehilangan kasih sayang ibu dan bapa.

“Saya sudah merasa kasih sayang daripada ibu dan ayah, sekiranya saya sambung belajar, risau tidak dapat beri perhatian sepenuhnya dan mereka tidak dapat kasih sayang,” katanya

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Santos Bukarok berkata, pihaknya menyalurkan bantuan segera berjumlah RM300 kepada Saaed sebagai ketua keluarga.

Pada masa sama, katanya, JKM akan mempertimbangkan bantuan kanak-kanak sebanyak RM450 kepada tiga adiknya yang masih bersekolah berusia 10 hingga 16 tahun selain turut mempertimbangkan bantuan penjagaan buat nenek mereka yang berusia 80-an akibat sakit terlantar.

“Bantuan ini akan diproses segera bagi meringankan beban anak-anak selain memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan dengan baik,” katanya.

Terdahulu, hadir sama pada majlis penyerahan sumbangan itu disempurnakan Pegawai EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Asrin Salkin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2201
Kongsi :
Previous post JAIM perlu bantu sekolah tahfiz, pondok daftar institusi – KM
Next post Patuh arahan, elak isu projek pembinaan tertangguh – KM
Ubah saiz-+=