Sorting by

×

‘ABANG RIDER’ BANTU POLIS CEKUP PERAGUT

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 24 April – Tindakan pantas sekumpulan penghantar makanan atau ‘abang rider’ membantu polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun di sebuah pasaraya di Malam, tengah hari semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu melibatkan seorang mangsa lelaki warga emas berusia 70 tahun yang ketika itu sedang menuju ke arah keretanya.

Katanya, susulan kes itu sepasukan polis dari Cawangan Siasatan Khas (D9) Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah bersama ‘task force’ Balai Polis Malim bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika pasukan polis tiba di lokasi dan cuba menahan suspek yang berusia 31 tahun itu, lelaki terbabit bertindak melarikan diri.

“Namun sekumpulan penunggang P-Hailing yang kebetulan berada berhampiran membantu dan berjaya menahan suspek pada jam 1 tengah hari,” katanya.

Menurut Dzulkhairi, semakan mendapati suspek yang juga seorang penganggur memiliki dua rekod jenayah lampau, sementara itu ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis nimetazepam.

“Susulan penahanan suspek kami berjaya menyelesaikan lima kes ragut dilaporkan sekitar Melaka Tengah, selain itu lelaki ini juga dipercayai mula aktif melakukan jenayah sejak Januari lalu.

“Selain tangkapan keatas suspek, kami turut membuat beberapa rampasan antaranya dua buah telefon bimbit, sebuah motosikal Yamaha Y15 dan sejumlah wang tunai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

547
Kongsi :
Previous post SPM 2024: 10,532 CALON DI MELAKA LAYAK TERIMA SIJIL
Next post RAYA AGENSI AGAMA ISLAM MELAKA MERIAH MACAM DULU-DULU