Sorting by

×

Abang maut, dua adik cedera motosikal terbabit kemalangan

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

ALOR GAJAH 1 Februari – Pelajar tingkatan tiga maut manakala dua adiknya cedera selepas motosikal mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Telok Gong, Pengkalan Balak, di sini, jam 8.05 pagi tadi.

Mangsa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat iaitu Mohamad Iqmal Daniel Iskandar, 15, menunggang motosikal disahkan maut di lokasi kemalangan.

Sementara itu dua adiknya yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tuang, masing-masing berusia 10 dan 12 tahun pula cedera pada badan, luka di mulut selain kaki terseliuh.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superitendan Arshad Abu berkata, kemalangan maut itu membabitkan motosikal tiga beradik berkenaan dan Perodua Axia dipandu lelaki 65 tahun.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebelum kejadian kedua-dua kenderaan berkenaan dari arah yang sama iaitu dari Kuala Sungai Baru menghala ke Masjid Tanah.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila setibanya di tempat kejadian, pemandu Perodua Axia berkenaan dikatakan ingin membelok ke kiri untuk masuk simpang ke rumahnya.

“Namun motosikal mangsa yang datang dari arah belakang kemudian dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang sebelah kanan kereta dipandu warga emas itu,” katanya.

Semua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan manakala penunggang motosikal yang maut pula dihantar ke unit forensik hospital sama bagi proses bedah siasat.

“Pemandu kereta juga sudah diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 selain siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5018
Kongsi :
Previous post Air Panas Gadek bawa limpahan ekonomi pada orang kampung
Next post Melaka bakal miliki Terminal Kapal Persiaran terbesar
Ubah saiz-+=