Abang Beca tak sabar terima kunjungan pelancong

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDA HILIR 23 Sept – Hampir 70 pengayuh beca berlesen di Melaka bersedia menerima pelancong yang dijangka tidak lama lagi susulan Melaka dijangka masuk Fasa 3 Pelan Pemulihan Negera pada pertengahan Oktober ini

Pengerusi Koperasi Abang Beca Melaka, Azman Dollah berkata, dia mewakili ahli koperasinya yang lain berasa teruja selepas mendapat tahu berita tersebut.

Katanya, selepas hampir lapan bulan pengayuh beca di Melaka tiada pendapatan ekoran pandemik COVID-19 dan pintu sempadan negeri ditutup, kini mereka kembali bersemangat apabila peluang sempadan negeri dibuka semakin cerah.

“Syukur, Alhamdulillah, selepas dengar berita tersebut, saya rasa gembira bukan kepalang, bila mengenangkan beca yang tersimpan akan kembali berkhidmat.

“Dalam kalangan ahli koperasi, semua telah lengkap menerima suntikan vaksin dan menerusi perbincangan kami bersedia sepenuhnya untuk menerima pelancong sebaik sahaja sempadan negeri dibuka.

 

AZMAN Dollah

“Apabila kerajaan buka Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) Oktober nanti kami warga pengayuh beca Melaka yakin, rezeki untuk kami ada dan insyallah kami bersedia untuk menjana pendapatan serta menaikkan ekonomi negeri ini kembali.

“Manakala dari segi persediaan, semua dah lengkap, kami juga akan paparkan Mysejahtera dan ambil suhu ikut prosedur operasi standard (SOP) selain akan papar sijil lengkap vaksin dan sanitasi berkala untuk keselamatan bersama,”katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Mengulas lanjut, Azman berkata pihaknya masih menunggu juga sekiranya terdapat SOP pelancongan yang baharu.

“Difahamkan pihak pelancongan juga akan keluarkan SOP pelancongan dan kami di Koperasi Abang Beca Melaka akan sentiasa patuh pada SOP kerajaan untuk memudah cara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1791
Kongsi :
Previous post Peniaga kembali bersemangat waktu operasi dilanjutkan
Next post Kewangan Islam kini mampu berperanan sebagai peneraju – Sultan Nazrin
Ubah saiz-+=