Abang angkat mimpi Amir
RIM 1 Feb – Keluarga angkat Zubaidi Amir Qusyari Abd Malek, 7, melahirkan kesyukuran proses pengebumian kanak-kanak malang itu berlangsung dalam suasana tenang di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, di sini.
Ibu angkatnya, Norlida Abu Hassan, 50, berkata raut wajah Zubaidi Amir yang dianggap sebagai anak lelaki bongsu keluarga itu, kelihatan segar tidak seperti wajah jenazah yang sudah meninggal dunia lama.
Katanya, anak lelakinya menceritakan bahawa arwah muncul dalam mimpi malam tadi dan memohon keluarganya mempercepatkan urusan pengebumian.
“Alhamdulillah, kita pun tidak mahu menangguhkan urusan pengembumian arwah. Umi akan datang (menziarahi kubur) sebab sekarang dia tengah ‘tidur’.
“Raut wajah arwah kelihatan segar tidak seperti jenazah yang sudah meninggal tiga empat hari, sebab arwah memang selalu tidur di sebelah Umi.
“Arwah memang biasa peluk Umi, bila tidur dia tengok Umi. Esok Umi datang ya!,” katanya sebak.
Sebelum meninggalkan tanah perkuburan itu, Norlida sempat menzahirkan rasa terima kasih kepada keluarga kandung kerana memberikan kerjasama sejak mula tiba di negeri itu sehingga selesai urusan pengebumian bagi memberi penghormatan terakhir kepada anak angkatnya.
Mengulas lanjut, Norlida berkata dia sekeluarga reda dengan pemergian Zubaidi Amir dan memohon orang ramai mendoakan agar arwah ditempatkan kalangan orang beriman.
“Terima kasih semua, tolong doakan untuk Amir ya,” pesannya sebelum memasuki kereta dan meninggalkan kawasan tanah perkuburan itu.
Terdahulu, jenazah Zubaidi Amir dimandi dan disembahyangkan di Madrasah As-Syakirin dengan dihadiri kira-kira 40 jemaah terdiri daripada keluarga terdekat dan sanak saudara.