‘Abah’ Muhyiddin kekal pemimpin politik tanah air paling popular

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KUALA LUMPUR 20 Mei. – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai tokoh paling popular dalam kalangan pemimpin parti politik tanah air, demikian menurut satu tinjauan.

Dalam ‘Sentimen Umum Pengundi Malaysia Mengenai Isu Politik dan Kepimpinan’ yang dikeluarkan pada Selasa, O2 Malaysia berkata, Muhyiddin memperoleh tahap kepuasan sebanyak 51 peratus daripada sejumlah 1,582 responden berumur 18 tahun dan ke atas yang ditinjau dari seluruh negara secara dalam talian.

Menurut tinjauan itu, yang berlangsung dari 26 Mac hingga 9 April lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berada di tempat kedua selepas meraih tahap kepuasan sebanyak 34 peratus diikuti Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (30 peratus) dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 26 peratus.

Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masing-masing memperoleh 22 dan 11 peratus daripada tinjauan berdasarkan kaedah persampelan rawak berstrata yang mewakili kumpulan umur, jantina, kaum serta kawasan Dewan Undangan Negeri.

Selain itu, kajian tersebut yang dilakukan bagi mengenal pasti tahap sokongan pengundi dan kecenderungan mereka terhadap perkembangan politik tanah air semasa, menunjukkan tahap kepuasan bagi dua bekas perdana menteri berada pada tahap sederhana iaitu lebih rendah berbanding Muhyiddin.

Tinjauan itu menunjukkan tahap kepuasan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad ialah 40 peratus pada suku kedua 2020, merosot kepada 29 peratus menjelang suku ketiga tahun sama dan pulih sedikit kepada 33 peratus pada suku pertama tahun ini.

“Sementara itu, populariti Datuk Seri Najib Tun Razak pada suku kedua 2020 mencapai 24 peratus, merosot kepada 21 peratus pada suku ketiga namun pulih kepada 27 peratus pada suku pertama tahun ini,” menurut tinjauan itu.

O2 Malaysia adalah sebuah pusat penyelidikan dan libat urus sosial yang memfokus kepada sentimen umum merangkumi isu politik serta pilihan raya, sosioekonomi dan penyelidikan dasar awam dengan melihat analisis data.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1852
Kongsi :
Previous post Tragedi mandi sungai
Next post Capaian terhadap pornografi kanak-kanak meningkat dalam tempoh PKP
Ubah saiz-+=