Ab Rauf taja murid di Parlimen Masjid Tanah saksikan Pameran Hang Tuah

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

TANJUNG BIDARA 2 Julai – Murid-murid terpilih daripada 38 buah sekolah di dalam Parlimen Masjid Tanah akan ditaja untuk menyaksikan keunikan Pameran Hang Tuah yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Tajaan itu merupakan hadiah daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam usaha membuka mata dan minda murid serta pelajar di negeri ini mengenai kisah pahlawan legenda Melayu yang tersohor suatu masa dahulu.

Menurut Ketua Menteri, sejarah dan kisah kepahlawanan era Kesultanan Melayu Melaka perlu didedahkan kepada generasi muda supaya sejarah yang pernah dibengkokkan penjajah dapat diluruskan semula.

“Dalam kerancakan saya membawa masuk pelabur ke negeri ini, saya juga berazam bahawa kebengkokan sejarah mesti diluruskan, di mana Kerajaan Negeri telah berbelanja lebih RM3 juta untuk melantik penyelidik bagi membuat kajian mengenai Hang Tuah di seluruh dunia.

“Sejarah itu mesti diluruskan daripada cengkaman penjajah supaya anak bangsa kita tahu dan bangga dengan kisah pahlawan legenda tersohor suatu masa dahulu yang namanya tercatat di beberapa buah negara.

“Jadi saya menyeru, kepada guru-guru untuk membawa anak-anak murid menyaksikan Pameran Hang Tuah ini supaya apabila keluar di dunia nyata nanti, mereka (anak murid) tahu bahawa kita ada pahlawan Melayu yang hebat dan dicemburui penjajah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Kembara Sejarah ProBEST@AG 2024 Daerah Alor Gajah Peringkat Parlimen Masjid Tanah di Auditorium Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Rosli Abdullah; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mohd Ghazali Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Mohamad Azmi Sabtu serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai program Kembara Sejarah anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah itu, Ab Rauf percaya ia berupaya memperkukuh nilai menghargai tokoh-tokoh yang telah banyak menyumbang jasa dan bakti khususnya dalam kawasan Parlimen Masjid Tanah.

Jelas Ketua Menteri, ia juga dapat memberi pendedahan kepada murid-murid agar mencontohi keperibadian, kepimpinan, keberanian dan kecekalan tokoh-tokoh hebat terhadap perkembangan masyarakat waima negara.

“Program yang berkonsepkan pengkisahan tokoh-tokoh seumpama ini tentunya dapat meningkatkan nilai-nilai insaniah dan kerohanian dalam kalangan murid persis kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya untuk mereka tanamkan iltizam menjadi insan hebat pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

307
Kongsi :
Previous post Wanita maut, remaja lelaki parah motosikal bertembung
Next post Melaka sedia 10 anugerah untuk usahawan terbaik
Ubah saiz-+=