
AB RAUF LUANG MASA TINJAU OPERASI BALAI BERITA MEDIA PRIMA
KUALA LUMPUR 18 Februari – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, meluangkan masa melawat ke Balai Berita Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) di Jalan Riong, Bangsar, di sini, hari ini.
Terdahulu, Ketua Menteri menghadiri sesi temubual berkenaan promosi sambutan Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan 20 Februari 2025 menerusi program Malaysia Hari Ini (MHI) yang merupakan slot rancangan di bawah stesen televisyen TV3.
Turut serta bersama Ketua Menteri adalah Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Nasrul Ahmad.
Kehadiran Ab Rauf diiringi Ketua Pegawai Operasi (COO) Media Prima Omnia, Datuk Mohd Effendi Omar serta setiap wakil balai berita yang bernaung di bawah Kumpulan Media Prima Berhad.
Ab Rauf kemudian melawat studio membabitkan stesen televisyen Media Prima iaitu TV3, TV9, 8TV serta bilik berita The New Straits Times (NST), Berita Harian (BH) dan Harian Metro (BH) di bawah The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP).
Sebelum memulakan slot temubual di program MHI, beliau dibawa meninjau operasi Konti Radio Media Prima Audio yang menempatkan rangkaian Hot FM, Kool 101, Molek Fm, Fly Fm dan Eight Fm.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.