Ab Rauf kongsi kejayaan tadbir Melaka di pentas PAU 2024

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 21 Ogos – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, memanfaatkan peluang berucap di pentas Program PENTalk berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, bagi berkongsi pencapaian kementerian dan negeri yang diterajui oleh UMNO.

Ab Rauf berkata, antara yang ditekankan dan disentuh dalam ucapan beliau adalah mengenai pencapaian Kerajaan Negeri Melaka setelah membentuk gabungan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Kata beliau, hasil kerjasama dan sinergi terbentuk, Kerajaan Melaka telah melaksanakan 76 inisiatif secara keseluruhan dalam agenda mensejahterakan rakyat serta dan melestarikan pembangunan negeri

“Bagi memperkasa pertumbuhan ekonomi Negeri Melaka, antara pencapaian besar adalah menerusi sektor pelancongan yang kini berjaya menarik sejumlah 8.7 juta pelancong sehingga Julai tahun ini sempena Tahun Melawat Melaka 2024.

“Antara produk pelancongan baharu di Melaka ialah Melaka Bila Larut Malam yang mana ini merupakan produk pertama Malaysia dengan pengoperasian produk-produk pelancongan sehingga jam 2 pagi pada Sabtu minggu pertama setiap bulan,” kata Ketua Menteri menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.

Menurut Ketua Menteri, turut dikongsikan adalah pengkhabaran gembira iaitu penerbangan tambang rendah Singapore Airlines, Scoot bakal melakukan penerbangan lima kali seminggu bermula 23 Oktober ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM).

Turut disentuh adalah mengenai kapal persiaran mewah ‘Genting Dreams Cruise’ julung kalinya memilih Melaka dan bakal berlabuh di perairan negeri ini bermula 11 November nanti.

“Kerajaan negeri komited untuk terus melaksana agenda-agenda mensejahterakan rakyat. Apa yang Melaka capai ini adalah pencapaian kita bersama.

“Tanpa barisan pimpinan kerajaan negeri, ahli-ahli Yang Berhormat (YB), serta sokongan rakyat, tidak mungkin saya boleh melakukan semua inisiatif pencapaian ini seorang diri,” katanya.

PENTalk dianjurkan Penerangan UMNO menjadi program pembuka tirai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 memberi ruang dan peluang kepada menteri, ketua menteri dan menteri besar daripada UMNO berkongsi kejayaan serta memberikan pencerahan kepada ahli dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke16 (PRU-16).

Turut berkongsi kejayaan di pentas PENTalk adalah Presiden UMNO Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Petahanan yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Khaled Nordin, Menteri Perladangan dan Komoditi merupakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Selain itu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi merangkap Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Seri Azalina Othman Said turut berkongsi kejayaan pada program dijadiri kira-kira 700 orang peserta.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

114
Kongsi :
Previous post Muzium Penjara instrumen didik masyarakat
Next post Operator kilang maut, cebisan tulang ditemukan – Polis
Ubah saiz-+=