AB RAUF DILANTIK IKON HASIL MELAKA
AYER KEROH 4 Disember – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dilantik sebagai Ikon HASiL Negeri Melaka oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Pengarah LHDN Melaka Mohd Shahriz Ramli berkata, ia sekali gus menjadikan Ab Rauf sebagai pemimpin pertama dilantik sebagai ikon tersebut oleh LHDN Melaka.
Jelas beliau, pelantikan itu dibuat susulan sumbangan Ketua Menteri terhadap pembangunan Negeri Melaka menerusi dasar-dasar yang diperkenalkan sehingga berjaya menarik kehadiran lebih ramai pelabur dan merancakkan ekonomi negeri.
Tambah beliau, pelantikan itu juga amat bertepatan dengan status Ab Rauf sebagai pemimpin berpengaruh yang mempunyai ramai pengikut di media sosial.
“Dengan pelantikan beliau sebagai Ikon HASiL Negeri Melaka secara tidak langsung dapat menyampaikan mesej yang jelas kepada rakyat Melaka tentang peri penting percukaian dalam pembangunan Negeri Melaka dan Malaysia.
“Selain itu, Ketua Menteri juga merupakan seorang yang memahami sistem percukaian, selain banyak melibatkan LHDN Melaka dalam permasalahan percukaian yang melibatkan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Ramah Mesra YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Hasilian Melaka Tahun 2024 di Pejabat LHDN Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Ab Rauf menerima sijil pelantikan sebagai Ikon HASiL Melaka yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; serta lain-lain kenamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.