Ab Rauf akan bawa usul ke MKT
KUALA LUMPUR 19 Julai – Status Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Datuk Muhammad Jailani yang mengumumkan sudah menyertai PAS akan dibawa untuk dibincangkan pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, daripada sudut parti, tindakan Adun Rembia itu pasti akan memberi implikasi susulan akujanji yang telah beliau tandatangani ketika bersetuju untuk menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 yang lalu.
Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata, Muhammad Jailani perlu menanggung segala kos ganti rugi sebagai calon BN berikutan tindakannya itu, namun enggan mendedahkan jumlah berkenaan.
“Kita akan meneliti jumlah, kita tidak beri tahu berapa, tetapi masing-masing tahu berapa jumlah yang telah dipersetujui dan diperakui seseorang yang nak jadi calon BN sebelum ini,” katanya pada sidang media khas di sebuah hotel, hari ini.
Hadir sama pada sidang media khas itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad, barisan Exco Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, Datuk Abdul Aziz Engan.
Ab Rauf juga tidak bersetuju dan mengganggap dakwaan Muhammad Jailani konon seolah-olah beliau digantung tidak bertali sebelum ini sebagai tidak tepat.
Katanya, setiap ahli parti sepatutnya memperbaiki kesalahan sepanjang proses penggantungan dan mengambil sikap bermuhasabah diri.
Jelas beliau, sekiranya masih ingkar sebagai wakil rakyat parti, tindakan memberi amaran dan tidak lagi memberikan kemudahan adalah wajar.
“Kalau cakap begitu (digantung tidak bertali) saya tidak berapa setuju, seolah-olah kita ‘bernikah tidak berkadi, bercerai tidak bertalak’. Dalam tempoh ‘idah’ digantung keahlian, sepatutnya kita ikut etika parti supaya dapat memperbaiki kesilapan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.