Aaron Chia rasa terganggu..
PEMAIN beregu lelaki negara Aaron Chia mengakui hilang fokus menjadi puncanya dan pasangan Soh Wooi Yik ‘pulang awal’ pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis, 26 Oktober lalu.
Pada aksi itu, pasangan beregu keempat dunia itu tewas seawal pusingan pertama di tangan pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Zhang 21-13, 21-14.
Menurut Aaron, faktor dihantui kekalahan pada separuh akhir Terbuka Denmark sebelum itu menyebabkan fokusnya agak terganggu dan gagal menampilkan aksi seperti biasa.
“Saya rasa mungkin fokus saya agak kurang kerana selepas tewas kepada Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo (Indonesia) di separuh akhir Terbuka Denmark.
“Kekalahan itu masih meninggalkan kesan dan saya masih berfikir tentang aksi itu ketika beraksi di Terbuka Perancis.
“Apapun, saya berjanji untuk bangkit semula dan fokus kepada perlawanan terakhir tahun ini iaitu BWF World Tour Final yang berlangsung di Guangzhou, China, Disember depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Hadiah Insentif Kemenangan Pemenang Pingat di Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel dan Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX di Auditorium Seri Negeri.
Pada majlis itu, Aaron menerima insentif keseluruhan RM70,000 di atas kejayaannya menjuarai Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo, selain meraih pingat emas dan gangsa bagi acara berpasukan campuran dan beregu lelaki di temasya Sukan Komanwel Birmingham.
Insentif berkenaan telah disampaikan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.