AARON CHIA, 110 ATLET SUKMA MELAKA TERIMA INSENTIF LEBIH RM300,000
SERI BENDAHARA 28 Oktober – Pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024, Aaron Chia bersama 110 atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Melaka yang menyumbang pingat pada temasya SUKMA XXI yang lepas menerima insentif daripada Kerajaan Negeri Melaka.
Jaguh badminton negara yang juga anak jati Melaka, Aaron mendahului senarai penerima dengan insentif berjumlah RM50,000 manakala 110 atlet serta 67 jurulatih SUKMA Melaka menerima RM254,675.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pemberian insentif kali ini merupakan yang terbesar pernah disumbangkan di atas kejayaan atlet Melaka dalam pelbagai kejohanan sama ada di peringkat dunia mahupun kebangsaan.
Justeru, beliau berharap insentif tersebut dapat memberi suntikan semangat buat atlet Melaka untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
“Besar harapan saya agar dengan pemberian insentif yang mencatatkan nilai terbesar berbanding tahun sebelum-sebelum ini dapat menjadi pemangkin kepada atlet-atlet untuk terus bersemangat.
“Saya menyeru kepada semua penggiat sukan dan jabatan serta agensi yang terlibat untuk terus bergerak proaktif mengatur, merancang dan merangka strategi untuk persiapan kejohanan-kejohanan sukan besar pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Pingat Olimpik Paris 2024 dan SUKMA XXI, Sarawak 2024 di Kediaman Rasmi Ketua Menteri di Seri Bendahara.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka; Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri; Datuk Azhar Arshad, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana; Datuk Rais Yasin, EXCO Belia, Sukan dan NGO; Datuk VP Shanmugam serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Ab Rauf turut berbangga dengan pencapaian atlet Melaka pada temasya SUKMA XXI kerana ada acara sukan berpasukan yang telah mencipta sejarah baharu apabila turut menyumbang pingat.
“Saya difahamkan, SUKMA kali ini rata-rata mencipta sejarah baharu apabila banyak sukan berpasukan turut menyumbang pingat, antaranya pasukan bola sepak yang berjaya meraih pingat perak selepas kali terakhir memasuki final SUKMA pada 34 tahun yang lepas,” tambahnya.
Pada SUKMA XXI Sarawak 2024 yang lepas, kontinjen Melaka membawa keseluruhan 70 pingat dengan 18 emas, 23 perak dan 30 gangsa.
Manakala Aaron Chia bersama pasangan regunya, Soh Wooi Yik berjaya mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi di Tokyo apabila merangkul pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, Ogos lepas.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.