Bas rempuh treler: Pemandu maut, 6 penumpang cedera
ALOR GAJAH 25 Oktober – Pemandu bas maut dan enam penumpang cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 220.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, pemandu bas berkenaan Zainuddin Jaidun, 49, disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan terbabit datang dari dari arah sama yang mana bas yang membawa tujuh penumpang itu dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Terminal Bas Seremban manakala treler membawa muatan besi menghala ke Rawang.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas terbabit merempuh belakang treler dipandu lelaki 52 tahun yang ketika itu berada di lorong pertama.
“Susulan rempuhan itu pemandu bas tersepit pada bahagian tempat duduk pemandu sebelum dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Antara kecederaan dialami oleh enam penumpang adalah luka di kepala dan patah kaki. Kesemua mereka kemudian dihantar ke Hospital Rembau bagi rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, Kedua-dua kenderaan yang terbabit kini ditahan sebelum dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk tindakan lanjut.
“Siasatan dijalankan di lokasi kejadian juga mendapati keadaan jalan adalah lurus dan mendaki bukit manakala keadaan gelap serta tidak berlampu.
“Selain itu mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.