Belanjawan 2024 mantapkan institusi TVET
AYER KEROH 24 Oktober – Peruntukan RM2 bilion untuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2024 bakal merancakkan lagi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dr. Mohd Zahari Ismail berkata, antara yang bakal menerima tempias daripada pengumuman itu adalah politeknik serta kolej komuniti.
“Perbelanjaan besar itu dijangka memantapkan lagi institusi TVET tempatan dalam usaha berterusan melahirkan graduan berkualiti. Ini adalah kali pertama bidang TVET menerima bajet yang besar, pengumuman itu adalah perkara yang amat baik untuk KPT.
“Sementara itu bagi tujuan penyelidikan dan inovasi pula saya dimaklumkan kami akan menerima peruntukan antara RM2 juta hingga RM5 juta,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Akademia Politeknik dan Kolej Komuniti (AA POLYCC) Tahun 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kamaludin Daud; Pengarah Bahagian Governan dan Kecemerlangan JPPKK, Ts. Abdul Razak Sabtu serta Pengarah Politeknik Merlimau Melaka, Norizam Sekak.
Mengulas lanjut, Dr. Mohd Zahari berkata, peruntukan bakal disalurkan itu turut membabitkan perbelanjaan bagi aspek penyelenggaraan politeknik dan kolej komuniti.
“Insya-Allah tahun hadapan penyelenggaraan politeknik dan kolej komuniti akan diberikan keutamaan,” katanya.
Terdahulu Dr. Mohd Zahari menyampaikan Anugerah Akademia POLYCC 2023 kepada 11 penerima dengan jumlah peruntukan sebanyak RM41,000.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.