Panik ular sawa ‘berehat’ atas meja

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

REMBIA 24 Oktober – Beberapa pelajar lelaki menetap di sebuah asrama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah berdepan detik cemas apabila menemukan seekor anak ular sawa di atas meja belajar di biliknya.

Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, satu panggilan kecemasan diterima pihaknya berhubung penemuan reptilia tersebut kira-kira jam 9 pagi semalam.

Katanya, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) diarahkan ke lokasi terbabit mengesahkan terdapat seeokor anak ular sawa berukuran lebih kurang satu meter masih berada pada meja belajar di bilik pelajar lelaki.

“Kejadian itu disedari seorang pelajar dikenali sebagai Muhamad Izzuddin sebelum dia membuat panggilan kecemasan.

“Kita mengambil masa sejam sebelum berjaya menangkap ular berkenaan menggunakan peralatan khas,” katanya.

Menurutnya, kerja-kerja mengalihkan ular tersebut berjaya dilaksanakan dan telah dilepaskan ke hutan berhampiran.

“Dalam keadaan cuaca panas kali ini mengundang kehadiran reptilia yang ingin mencari tempat yang lebih sejuk sebagai habitat baharunya.

“Dalam situasi kecemasan seperti ini kita ingin mengambil kesempatan menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu panik sehinggakan boleh memukul dan menangkap haiwan seperti ini secara melulu.

“Masyarakat dinasihatkan supaya tidak cuba memukul atau menangkap ular sesuka hati sebaliknya segera menghubungi pasukan penyelamat yang mempunyai kepakaran dan kemahiran menangkap haiwan itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1196
Kongsi :
Previous post ASBN: Jasa penggiat seni budaya dimartabatkan
Next post 17 negara kongsi kepakaran teknologi nuklear
Ubah saiz-+=