Institut Dondang Sayang dijangka beroperasi 2024
AYER KEROH 23 Oktober – Penubuhan sebuah institut khusus untuk Dondang Sayang mampu mengangkat dan memartabatkan semula seni warisan tradisional itu yang amat sinonim dengan orang Melaka.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, hasrat untuk menubuhkan institusi itu kini berada pada fasa akhir dan sedang menunggu kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Abdul Razak berkata, jika mendapat lampu hijau daripada MMKN institut berkenaan akan beroperasi di Perkampungan Hang Tuah di Duyong bermula tahun hadapan.
“Seperti yang kerap kita nyatakan, Kerajaan Negeri mahu mengekalkan irama Dondang Sayang. Seni ini akan dipertahankan sebagai salah satu warisan yang ada di Negeri Melaka, jadi dengan adanya institut yang dicadangkan ini warisan kita tidak luput begitu sahaja.
“Ini antara sebab mendorong kita menubuhkan institut ini, biarlah warisan ini dikekalkan sampai bila-bila, kita wariskan kepada generasi muda akan datang.
“Kita harap institut ini bukan sahaja menarik minat anak muda dari Melaka semata-mata, sebaliknya kita buka juga kepada mereka dari luar Malaysia untuk bersama-sama belajar dan mendalami kesenian Dondang Sayang,” katanya pada sidang media Majlis Penyampaian Anugerah Seni dan Budaya Negeri (ASBN) Melaka 2022/2023 diadakan di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Pengukuhan Seni dan Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Suhaimi Abdul Rahim dan Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias.
Terdahulu, dalam program diadakan itu seramai 19 individu dinobatkan menerima anugerah membabitkan pelbagai kategori.
Penghargaan tertinggi diberikan kepada Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara Tan Sri Prof. Dr. Abdul Latiff Abu Bakar sebagai penerima utama, kategori Anugerah Seni Budaya Negeri Melaka.
Abdul Razak berkata, langkah memartabatkan irama Dondang Sayang akan diteruskan bagi menerapkan minat dan mencorakkan bakat anak muda terhadap irama warisan itu.
Jelasnya, sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) program bertemakan seni dan budaya akan diperhebatkan bagi menarik lebih ramai pelancong luar.
“Pelbagai lagi program berkonsepkan seni dan budaya ini dirancang pada tahun hadapan seperti pertandingan pantun, dondang sayang dan banyak lagi.
“Malah, pertandingan-pertandingan ini juga akan diperluaskan ke sekolah-sekolah di negeri ini kerana daripada situ juga kita akan melihat banyak bakat-bakat anak muda ini untuk kita ketengahkan pada masa hadapan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.