DMDI kumpul RM50,000 bantu misi kemanusiaan Palestin
AYER KEROH 18 Oktober – Dana berjumlah RM50,000 berjaya dikumpul Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) menerusi Tabung Kemanusiaan DMDI-Palestin untuk disalurkan ke negara itu.
Pengerusi Yayasan DMDI, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, dana berkenaan adalah hasil sumbangan badan bukan kerajaan (NGO), pihak korporat dan individu menerusi Forum Perang Palestin-Israel dan Pembebasan al-Aqsa anjuran Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).
Mohd Ridhwan yang juga Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia berkata, bantuan itu akan disalurkan dalam masa terdekat, sekali gus membantu meringankan beban rakyat Palestin terkesan akibat konflik bersenjata berlaku ketika ini.
“Sumbangan ini akan disalurkan menerusi NGO iaitu Serantau Muslim yang mempunyai rangkaian dan jalan. Kita jamin ia pasti akan sampai terus kepada rakyat Palestin dalam tempoh terdekat ini.
“Insya-Allah, sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan DMDI-Palestin merupakan antara bantuan yang terawal akan sampai ke Palestin. Kita akan terus membuka Tabung Kemanusiaan ini untuk memberi peluang kepada semua pihak bagi bersama-sama menyumbang,” katanya ketika ditemui pada Forum Perang Palestin-Israel dan Pembebasan Masjid al-Aqsa diadakan di Universiti Geomatika Malaysia (GUC) di Bangunan Yayasan Belia Dunia, di sini, hari ini.
Hadir sama pada forum itu Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam merangkap Presiden DMDI, Pengerusi DMDI Malaysia, Datuk Md Nasir Ghani, Naib Pengerusi DMDI, Prof Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Jamil Mukmin dan Pengerusi Forum Perang Palestin Israel merangkap Pengerusi Serantau Muslim, Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor.
Ends//
Pix 1. YANG di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam kutipan dana Tabung Kemanusiaan DMDI-Palestin kepada Pengerusi Forum Perang Palestin Israel merangkap Pengerusi Serantau Muslim, Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor (lapan dari kiri) pada Majlis Penutup Forum Perang Palestin – Israel dan Pembebasan Al-Aqsa di Universiti Geomatika Malaysia Melaka, Ayer Keroh, Melaka. Hadir sama Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Malaysia, Datuk Md Nasir Ghani, Naib Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Prof Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Jamil Mukmin dan Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka dan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali. Foto MR AZLI
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.