Sorting by

×

Bas kilang guna cukai jalan palsu

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

BUKIT KATIL 18 Oktober – Sebuah bas kilang dikesan menggunakan cukai jalan (LKM) palsu hasil pemeriksaan menerusi Op Kenderaan Perdagangan Awam dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, sekitar Ayer Keroh dan Batu Berendam, hari ini.

Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata, bas kilang berkenaan kemudian disita dan kompauan dikeluarkan terhadap pemilik mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Selepas melakukan semakan, LKM pada bas kilang berkenaan sebenarnya sudah tamat tempoh sejak 17 bulan lalu. Namun LKM digunakan itu diubah tarikh kepada November tahun ini.

“Jika sekali imbas LKM berkenaan kelihatan sama seperti yang tulen dan ia hanya disahkan palsu selepas kami melakukan semakan,” katanya pada sidang media di Pejabat JPJ Melaka, Bukit Katil, di sini, hari ini.

Muhammad Firdaus berkata, secara keseluruhan pihaknya memeriksa 65 buah van kilang dan mengesan 111 pelbagai jenis kesalahan.

Beliau berkata, operasi berkenaan dijalankan bertujuan untuk mengesan dan memastikan setiap pengendali bas serta van kilang beroperasi mengikut peraturan yang ditetapkan.

Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan adalah kegagalan pemilik menyelenggara kenderaan dengan sempurna seperti penggunaan tayar botak dan merekah.

“Sebanyak 21 lagi kenderaan lain dikesan tidak mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan. Antara kesalahan yang dikesan adalah gagal mengemukan permit sah, permit pengendali dan permit operasi luar kawasan.

“Kita juga dapati ada dalam kalangan pemandu yang tidak mematuhi etika berpakaian dan kenderaan tidak dilengkapi peralatan kecemasan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1376
Kongsi :
Previous post PATI cuba masuk negara awal pagi tumpas
Next post 9 resolusi tuntut hak Palestin
Ubah saiz-+=