Bukan Isnin biasa, terima dengan hati terbuka
AYER KEROH 7 Nov. – Tanggal 9 November ini pastinya hari yang dinanti-nantikan rakyat di Melaka, berbeza daripada Isnin lain yang lazimnya membuatkan mereka malas hendak memulakan tugas atau dipanggil sindrom ‘Monday Blues’.
Apa tidaknya pada hari itulah segala doa, harapan dan hajat yang diharapkan mampu menjadi kenyataan sekali gus mengukir sedikit senyuman dalam keadaan saku yang semakin mengecil.
Tidak percaya tanyalah sesiapa sahaja, rakyat di semua peringkat tentu sekali amat mengharapkan bantuan yang dapat meningkatkan ekonomi keluarga setelah hampir 10 bulan hidup dalam suasana norma baharu.
‘Peperangan’ menentang pandemik COVID-19 yang dilalui sejak Mac lalu kelihatan masih jauh dan rakyat pastinya mengharapkan sedikit ‘peluru’ daripada kerajaan untuk melancarkan lagi misi tersebut.
Sebab itu, tidak hairanlah mengapa mereka meletakkan harapan yang sangat tinggi terhadap pembentangan Belanjawan Melaka 2021 oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.
Itu senario dihadapi rakyat, namun di peringkat kerajaan, Sulaiman juga berdepan cabaran yang amat besar bagaimana untuk mengimbangi antara pendapatan dan perbelanjaan untuk rakyat disaat kemerosotan ekonomi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dicetuskan COVID-19.
Walaupun Belanjawan Melaka 2021 Isnin ini masih menjadi teka-teki, Sulaiman sudah memberi bayangan yang agak menggembirakan iaitu sebuah belanjawan yang akan merancakkan pemulihan ekonomi untuk kebahagiaan rakyat.
Belanjawan yang akan dijangka dibentangkannya pagi 9 November sempena Persidangan Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 itu dikatakan bersifat inklusif tanpa meminggirkan mana-mana golongan.
Namun apa sekalipun kandungan belanjawan berkenaan, ia seharusnya diterima dengan hati yang terbuka kerana keputusan itu pastinya telah menilai kesan dari segenap sudut baik daripada ekonomi rakyat mahupun negara.