JKKN Melaka cadang ‘berkebaya’ pada setiap acara rasmi
AYER KEROH 15 Oktober – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka mencadangkan pemakaian pakaian tradisi kebaya digayakan pada setiap acara rasmi Kerajaan Negeri.
Pengarah JKKN Negeri, Ezlina Elias berkata cadangan itu sebagai usaha melestarikan kebaya bagi mengiktiraf ia sebagai warisan budaya tidak ketara kepada Pertubuhan Pendidikan Saintik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Katanya, pemakaian kebaya itu juga boleh dipraktikkan sama seperti pemakaian baju batik oleh kakitangan kerajaan pada setiap hari Khamis selain baju kurung untuk wanita.
“Cadangan berkebaya beramai-ramai pada setiap acara rasmi Kerajaan Negeri.
“Kebaya ada pelbagai bentuk dan jenis kebaya, ada kebaya labuh, ada kebaya senteng dan bermacam lagi, jika kita tidak mengangkat pakaian tradisi kita, siapa lagi?,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Pementasan pementasan Monodrama Kebaya Tidak Berkerongsang dan Pertunjukan Fesyen Muzikal di Pentas Utama Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Ezlina berkata dengan berkebaya ia sekaligus melambangkan penyatuan budaya dalam pelbagai bangsa yang terdapat di Nusantara.
“Di Melaka sendiri, setiap kaum dan etnik di negeri ini mempunyai kebaya mereka tersendiri.
“Seperti Cina Peranakan dengan kebaya Nyonya yang bersulam motif bunga, Chetti pula dengan kebaya senteng, Portugis dengan kebaya kopridu manakala Melayu pula ada kebaya Riau, Kebaya Labuh dan pelbagai lagi.
“Hal ini kerana kebaya merupakan pakaian tradisi yang akan kekal dan bukannya seperti fesyen bersifat dinamik atua berubah-ubah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.