628,168 sertai Techlympics Malaysia Zon Selatan 2023
AYER KEROH 13 Oktober – Pertandingan Techlympics Malaysia 2023 Peringkat Zon Selatan menerima penyertaan keseluruhan seramai 628,168 orang.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata jumlah itu membabitkan penyertaan dari Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.
Katanya, jumlah itu dianggap sebagai peningkatan yang signifikan, kerana pihaknya menerima 282,050 penyertaan sahaja pada tahun lalu.
“MOSTI telah merangka dan menyusun pengisian Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics ini agar sejajar dengan keperluan aspek teknologi terkini sebagai wadah pendedahan awal kepada pelajar dalam memahami serta mempelajari asas-asas teknologi baharu.
“Menerusi pertandingan ini juga, kita turut menitikberatkan akses kepada keperluan asas dan pendidikan berkualiti menerusi Program Jangkauan Keterangkuman (outreach),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Negeri Melaka dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Selatan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan serta Timbalannya, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem dan Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim.
Mengulas lanjut, Lih Kang berkata Techlympics Malaysia antara lain bertujuan untuk meningkatkan akses kepada Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) STEM khususnya kepada pelajar luar bandar, guru serta komuniti setempat.
“MOSTI dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor telah melaksanakan Program Outreach dan latihan Training of Trainers di 14 buah lokasi di Zon Selatan yang melibatkan lebih daripada 21,571 orang pelajar dan guru,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.