Pesta Deepavali berlangsung selama 16 hari

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BANDARAYA MELAKA 12 Oktober – Suasana sekitar Little India, Jalan Bendahara dijangka lebih meriah dengan penganjuran jualan bazar dan Pesta Deepavali yang dijadualkan berlangsung pada 27 Oktober hingga 12 November depan.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam berkata, seperti tahun-tahun sebelum ini Little India akan menjadi lokasi tumpuan penganut agama Hindu terutamanya untuk mencari kelengkapan dalam membuat persiapan sempena sambutan Pesta Cahaya.

“Kita kini dalam proses menganjurkan beberapa program sempena sambutan Deepavali bulan hadapan. Seperti tahun lalu kita anjurkan jualan bazar selama 16 hari. Pengunjung boleh mendapatkan semua kelengkapan diperlukan seperti pakaian, sari dan keperluan lain di sana.

“Tahun lalu terdapat 40 gerai jualan sekitar Jalan Bendahara, namun pada tahun ini kita jangka akan ada pertambahan. Malah kali ini bazar juga akan beroperasi sehingga malam Deepavali.

“Sebelum ini kita dapati pada malam perayaan masih ada yang datang mencari dan membeli keperluan,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu Program Apa Khabau YB di Melaka FM, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek berkata, selain jualan bazar turut dianjurkan adalah sambutan raikan Deepavali selama tujuh hari bermula 4 hingga 10 November yang bakal dimeriahkan dengan beberapa program termasuk pertunjukkan tradisi Sari Queen.

“Pengisian program sedang diteliti, namun apa yang pasti pelbagai aktiviti melibatkan belia, keagamaan dan bermacam lagi yang menarik akan dilaksanakan. Menariknya pertunjukkan Sari Queen itu terbuka kepada semua kaum bukan sahaja masyarakat India tetapi Melayu, Cina dan lain-lain.

“Menerusi pesta ini juga kita jangka akan ada penampilan artis terkenal untuk menghiburkan pengunjung dan pelancong yang hadir. Malah sepanjang berlangsungnya pesta ini kita berharap ia akan membantu bukan sahaja daripada sektor pelancongan tetapi juga ekonomi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1961
Kongsi :
Previous post Melaka tawar jadi tuan rumah Techlympics Malaysia 2024
Next post Zon Motosikal elak kemalangan di lampu isyarat
Ubah saiz-+=