Sektor pembinaan dijangka berkembang

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KUALA LUMPUR 11 Okt. – Sektor pembinaan dijangka berkembang sebanyak 3.7 peratus pada 2020 melalui pecutan dan pemulihan projek mega serta pembinaan rumah mampu milik.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF), pelaburan dalam kerja-kerja infrastruktur dijangka merancakkan lagi segmen kejuruteraan awam.

“Ini termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), Transit Aliran Massa (MRT) 2, Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, Landasan Berkembar Lembah Klang

Fasa 2 (KVDT2), ‘Central Spine Road’, Lebuhraya Pan Borneo dan Lebuhraya Pesisir Pantai di Sarawak,” kata laporan itu.

Untuk tahun ini, sektor pembinaan dijangka berkembang 1.7 peratus selepas disokong oleh segmen kejuruteraan awam dalam projek berkaitan infrastruktur.

Bagaimanapun, prestasi sektor itu akan menerima kesan daripada pertumbuhan hartanah kediaman dan komersial yang agak lembap.

Sementara itu, subsektor kediaman akan berkembang pada kadar yang lebih perlahan, terutamanya disebabkan oleh peningkatan hartanah yang siap dibina tetapi tidak terjual yang berpunca daripada penawaran dan permintaan yang tidak sepadan.

Pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh kerajaan termasuk pembinaan 60,000 unit kediaman setiap tahun dalam tempoh 10 tahun dan pengukuhan semula Dasar Perumahan Negara yang dijangka dapat merancakkan lagi pertumbuhannya menjelang 2020.

“Di samping itu, peningkatan dana untuk rumah mampu milik oleh Bank Negara Malaysia akan membolehkan pembeli rumah pertama menikmati komitmen bulanan yang lebih rendah sehingga 20 peratus yang seterusnya akan menyokong subsektor tersebut,” katanya lagi.

Bagi subsektor bukan kediaman, prestasinya menjelang tahun depan masih agak lemah berikutan kekurangan inisiatif ke atas projek-projek komersial mega.

Projek-projek yang sedang berjalan seperti Pusat Bandar Bukit Bintang, KLIA Aeropolis DFTZ Park, Kwasa Damansara, Malaysia Vision Valley dan Menara Merdeka 118 akan menyokong subsektor ini.

— BERNAMA

Views:

1480
Kongsi :
Previous post Intipati ekonomi Belanjawan 2021
Next post Belanjawan 2021: Siling kumpulan wang covid-19 ditambah RM20 bilion
Ubah saiz-+=